Pada pendapat saya (berdasarkan sedikit pengetahuan yang ada), salah seorang samada ibu atau bapa mesti ada lebih masa untuk bersama anak-anak. Sebaik-baiknya ibu la yang kena banyakkan masa bersama anak-anak. Alasannya, supaya kita boleh "menumpahkan kuah ke nasi". Soleh bapa, atau solehahnya ibu tertumpah pada anak-anak. Moga mereka turut menjadi orang yang ‘soleh’ atau ‘solehah’ sebagaimana ibu dan bapanya. Bagi saya, soal “tarbiyyah” dan “kasih-sayang” tak boleh diswastakan. Maksudnya, ia tak boleh dilepaskan kepada orang lain contohnya pusat asuhan kanak-kanak ataupun pembantu rumah. Orang lain boleh menjaga, tetapi tak boleh berikan kasih sayang pada anak-anak kita. Mungkin agak keterlaluan jika mengatakan mereka cuma mahukan duit kita. Tapi itulah yang saya rasa. Isu ini adalah isu yang paling utama yang merisaukan saya. Pembentukkan anak-anak berkait rapat dengan perhatian dan kasih sayang. Bagi anak-anak, LOVE (kasih-sayang) dieja dengan "T-I-M-E", iaitu masa yang kita berikan untuk mereka. Isu Akhlak dan Agama (Iman) Si Pengasuh Soal “kasih sayang” itu satu hal. Satu lagi isu ialah “akhlak dan agama” si pengasuh. Di KL ni, rasanya agak sukar mendapatkan nuseri yang saya yakin akan akhlak dan agama si pengasuhnya. Ia sangat penting, kerana akhlak dan agama si pengasuh, pastinya sedikit sebanyak tertumpah pada anak-anak kita. Saat Kritikal Mendidik Anak-anak Zaman yang paling baik membentuk anak-anak ialah ketika tapak tangannya lebih kecil dari tapak tangan kita [dipetik dari pesanan ulama, tapi saya lupa namanya], iaitu ketika mereka masih kanak-kanak. Ketika buluh masih boleh dilentur. Masalah yang sering berlaku ialah ibubapa terpaksa bertungkus lumus untuk mengukuhkan ekonomi ketika anak-anak masih kecil. Terpaksa kurangkan perhatian terhadap anak-anak yang amat memerlukan perhatian dan kasih sayang. Bila ekonomi dah kukuh, oh! anak pun dah dewasa (remaja) dan tak memerlukan perhatian kita lagi. Pada ketika tu, masanya sudah agak terlambat untuk mendidik.
Kasih-sayang di Luar Rumah Paling bahaya, anak-anak yang bakal menjengah ke alam dewasa ni mula mencari kasih-sayang di luar rumah. Mereka lebih ‘bahagia’ bersama rakan-rakan, “girlfriend” atau “boyfriend” berbanding bersama ibu dan bapa mereka. Masaalah ni berpunca dari tak lain tak bukan, iaitu gersangnya kasih sayang dalam rumahtangga.Mereka akan terima sesiapa sahaja yang boleh mengisi kekosongan jiwa mereka. Kalau dapat kawan yang baik, alhamdulillah. Tetapi kebanyakkannya merosakkan mereka. Jadi, kita sebagai ibubapa kena usaha supaya anak-anak menjadikan kita sebagai rakan karib mereka terutamanya bila mereka mula menjenguk ke alam dewasa. Ini kerana zaman remaja ialah zaman anak-anak mencari identiti mereka. “Siapa diri mereka”, banyak bergantung kepada “siapa kawan-kawannya”. Sesiapa sahaja yang boleh beri perhatian, itulah kawan-kawan mereka.
Kita semua tak boleh hidup tanpa perhatian dan kasih-sayang, sama seperti kita memerlukan oksigen untuk hidup. Bagi anak-anak kecil, mereka rela dimarahi oleh ibubapa demi mendapatkan perhatian. Mereka akan buat apa sahaja asalkan ibubapa ambil perhatian pada mereka. Sepahkan makanan, sepahkan mainan, baling barang mainan, pukul adik dsb, kerana dengan cara itu, ibubapa pasti beri perhatian pada mereka. (ini dah masuk bab parenting ni...) So, terpulang la pada semua. Apa pun kerjaya tak kisah. Janji kita dapat beri perhatian secukupnya pada anak-anak. Kerjaya sebagai Guru (yang berkerja separuh hari) mungkin kerjaya yang agak sesuai untuk seorang ibu mengimbangi antara tuntutan kerjaya dan rumahtangga. Wallahu 'alam. Mohon maaf, saya bukanlah pandai sangat bab pembentukan
anak-anak ni. Masih kurang ilmu di dada tapi itulah yang saya tahu setakat pembacaan dan pemerhatian. Apapun, kita memang tak mampu membentuk anak-anak sebagaimana yang kita impi jika hanya bergantung pada usaha lahiriah. Namun, ikhtiarlah sebaik mungkin, tetapi semuanya kena berserah kepada Allah. Perbanyakkanlah doa untuk mereka supaya menjadi orang bertaqwa. Berdoalah dengan doa yang Allah ajarkan kepada kita [Al-Furqaan 25: 74] di waktu yang paling mustajab – ketika sujud dalam solat.


No comments:
Post a Comment